Friday, January 02, 2009

Childhood V

1. Di sekeliling rumah kami ada banyak jenis pokok buah-buahan. Seingat saya yang mula berbuah ialah rambutan diikuti nangka, cempedak, mempelam siam (elephant husk), durian... dan terakhir sekali duku tg gading.

2. Rambutan abah tanam depan rumah abang Man. Gading (kuning) dan Pulau Pinang (perang). Setiap tahun abah tuai dengan pemotong khas. Emak dan adik-beradik saya akan mengumpulnya. Biasanya abah pastikan jiran-jiran akan mendapat bahagian dulu sebelum saudara mara di bandar atau PJ. Upon the years, satu satu pokok rambutan mati. Apa sebabnya? Allah sahaja yang tahu.

3. Begitu juga di musim cempedak berbuah. Awalnya abah menggunakan daun kelapa yang dianyam sebagai sarung cempedak. Bila buat semakin banyak, abah tak larat mengait daun kelapa dan menyanyam. Abah mula bertukar ke sarung kertas. Abah akan ke pekan membeli kertas-kertas pembungkus simen terpakai untuk dibuat sarung.

4. Bila buah semakin banyak, abah terpaksa memanjat (tangga) membungkus buah cempedak. Bila saya dan Ahmad sudah agak besar, dia membenarkan kami sesekali memanjat membungkus ketika dia berihat. Tapi dia tidak pernah membenarkan kami berbuat demikian tanpa supervisionnya. Yang tinggi-tinggi abah buat sendiri.

5. Bila buah cempedak boleh dipetik? Abah akan memeriksa buah-buah yang sudah boleh dipetik. Abah juga akan mengajar kami menentukan buah-buah yang matang. Kami akan dibenarkan memetik buah-buah yang boleh dicapai (tanpa tangga) sahaja.

6. Buah-buah yang dipetik akan diagihkan kepada jiran-jiran. Selebihnya kami akan susun di bawah katilnya (disimpan sehingga masak) untuk dimakan sendiri dan dibahagikan kepada adik beradik emak atau abah. Mak Mah PJ, Pak Utih, Mak Long, Mak Usu, Pak Usu dll akan datang mengambilnya sendiri. Emak atau abah akan hantar buah cempedak ke rumah Atuk Nab. Kadang-kadang emak kirim melalui Mak Long.

7. Seingat saya tiada orang di sekitar kampung kami dan kampung-kampung berdekatan mempunyai mempelam siam. Dan kami hanya mempunyai sebatang sahaja. Bila musim mempelam, abah akan beri beberapa kepada jiran. Beberapa diberi kepada guru-guru kami. Selebihnya akan disimpan dibawah katil abah untuk dimakan sendiri atau diagaih kepada Atuk Nab, adik beradik emak dan abah.

8. Saya dapati semakin rajin dan ramai yang abah sedekah, semakin lebat buah mempelam. Lama-lama seakan tiada musim. Lepas dituai, pokok akan berbunga lagi. Entah berapa kali mempelam dituai sepanjang tahun.

9. Kini pokok buah-buahan sudah tiada. Saya tidak ingat apa jadi pada pokok-pokok itu kecuali pokok mempelam siam. Ia mati setelah Wak Su membakar daun-daun kering berhampiran dengan pokok itu. Bengkak hati abah. (Beberapa tahun lalu, Sudin membakar daun-daun kering dekat pokok kuini pusaka kebun Pt Jamil. Pokok kuini itu mati. Dan fahamlah kami bahawa pokok kuini dan mempelam sangat alah kepada asap!)

10. Setahun (kalau tak silap) sebelum saya meninggalkan rumah, kami berpindah ke rumah baharu (reconditioned) di tanah sebelah berhampiran surau. Dan apabila rumah asal disewa, rasanya jarang abah pergi menyarung cempedak.

11. Sejak meninggalkan rumah, saya tidak ingat dapat merasa cempedak. Sekali dapatlah merasa durian di sekeliling rumah baharu.

12. Tanah dan rumah asal kami jadi milik Kak Long sekarang. Kakak telah ubahsuai rumah asal. Baru-baru Kak Long membesarkan rumahnya. Bersih kawasan yang dulunya terdapat pokok kelapa, buah keras, cempedak, durian, sukun, belinjau, nangka etc.

13. Abah dan emak rajin menyemai benih-benih buah-buahan terutamanya mempelam dan durian untuk ditanam di kebun-kebun lain. Pantang jumpa buah baik, emak dan abah akan menyemainya. Saya masih ingat abah dan emak simpan biji-biji mempelam di bilik air. Bila sudah betul-betul kering, abah atau emak akan keluarkan endoplasma dan menyemai dalam plastik beg. Bertahun-tahun sehingga kami berpindah rumah. Malangnya tiada yang menjadi kecuali beberapa langsat mereket di Pt Jamil. Hasrat abah dan emak untuk berdusun tak menjadi kerana tak lain yang tidak begitu sesuai atau tak terjaga.

(Bersambung....)