Monday, December 29, 2008

Childhood II

1. Semua kebun abah (pusaka dan yang dibelinya bersama emak) kecuali di Sg Sudah asalnya ditanam pokok getah. Kebun di Sg Sudah ditanam pokok kelapa.

2. Semua (mungkin kecuali di bukit) ditoreh sepupu-sepupu saya dari suatu keluarga. Bertahun-tahun. Yang paling lama ialah Sanad. Janjinya hasil bagi separuh kerana abah keluar benih, baja, cukai dan upah pancah. Dan Sanadlah yang diberi keutamaan sekiranya ada kebun yang getah daranya sudah boleh ditoreh. Torehannya cantik. Pokok baru banyak getah!

3. Biasanya bila mula kerja di kebun getah baru, rajinlah ayah dibayar RM30 sebulan. Selepas tiga-enam bulan, sudah mula liat bayar bahagian hasil abah. Biasanya bila ayah tanya, dijawabnya "Bulan ni banyak kali hujan, Man (Pak Cik)!" "Bulan ni daun luruh, Man!" Dalam setahun, barangkali sekali dua sahaja abah dapat hasilnya.

4. Dan abah yang pemurah, masih terus sabar. Sudahlah tak dapat hasil, abah bayar pula upah pancah dan baja kepadanya. Kadang-kadang abah tambah lagi. Upah bina reban dan baiki atap nipah dapur.

5. Berpuluh tahun abah bersabar. Dan saya berasa sangat hairan melihat rumah sepupu saya itu membesar setiap tahun dan jauh lebih besar dari rumah kami! Tertanya juga dari mana dia dapat wang sedang kebun getah yang ditorehnya selalu "tiada hasil". Dan saya menyedapkan hati "Barangkali dia menang ekor!" Sepupu saya ini di masa muda suka main ekor.

6. Namun beberapa tahun sebelum pencen, abah buat replanting di satu kebun 7 ekar di Pt Jamil. Dia planned betul-betul supaya pokok boleh ditorehnya sendiri sebaik dia pencen. Semasa replanting itu, abah tanam ubi dan beberapa jenis sayur untuk beberapa tahun di kebun itu. Sayur biasanya untuk dimakan sendiri dan disedekah kepada jiran atau saudara mara mana yang sempat.

7. Ubi ada yang abah jual. Biasanya kepada Apek Kiam, jiran lama kami yang telah berpindah dekat pekan. Buat apa ubi itu, tak tahulah kami. Dulu semasa duduk sebelah rumah kami, dia pelihara babi. Harumnya astagha! Kerana itu semua tingkap rumah yang menghadap rumah Kiam ditutup.

8. Cucu Kiam akan datang selepas solat Jumaat. Dia datang naik basikal, brek (basikalnya akan drift di jalan batu kerewil), bunyikan loceng basikal dan berkata "Cikgu, ooooobiiiii!". Selepas memerhatikan beberapa minggu, saya decided untuk mengusik (mengenakan) abah pada satu Jumaat. Semasa kecil, saya ni pandai meniru (imitate) suara orang. Hari itu cucu Kiam tak datang macam biasa. Saya pun ambil basikal "jaguar" abah (supaya kedengaran seperti basikal cucu Kiam), kayuh dan masuk semula ke rumah dengan agak laju. Saya brek dan drift, bunyikan loceng basikal dan berkata ""Cikgu, ooooobiiiii!" sebiji macam yang dibuat cucu Kiam. Abah yang sedang berbaring di ruang tamu, bingkas bangun ke pintu. Kerana tidak melihat cucu Kiam, dia bertanya saya "Mana cucu Kiam tu?".

Dan saya ketawa besar mengatakan "Itu sayalah, Abah!" Dan nasib baik abah boleh ambil joke saya itu. Dia pun tergelak sama sambil berkata "Aku dengar sebiji macam suara cucu Kiam!" Dan abah masih ingat peristiwa lucu itu sehingga sebelum saya ke Wales in 1999.

9. Setelah pokok besar, puas Sanad mengecek abah untuk menoreh pokok-pokok baru itu tapi abah enggan beri.

10. Selepas pencen, abah mula menoreh kebun getah dara itu. Barangkali kerana sudah berpuluh tahun tidak menoreh (sejak berpindah ke Pt Jawa), abah akan demam 3 hari setiap sehari dia keluar menoreh. Jadi abah buat sekerap aja dan tak bangkit buat getah keping. Zaman ini begitulah norma getah ditoreh, untuk dibuat sekerap. Abah telah mendahului zaman. Malangnya masa tu getah sekerap tak setinggi sekarang. Kalau tidak silap saya, hampir setahun dia buat begitu.

11. Sudahnya dapat juga Sanad menoreh. Kalinya abah lebih baik hati. Dia tukar strategi dengan harapan Sanad akan lebih bermotivasi memberi bahagian hasilnya secara lebih konsisten. Perjanjiannya abah ambil 1/3 hasil sahaja. Seperti dulu-dulu, abah hanya dapat hasil untuk beberapa bulan pertama. Lepas tu liatlah nak dapat hasil bahagian abah. Strategi abah tak menjadi!

12. Sudahnya, sebelum saya ke Wales, abah mengambil keputusan tebang pokok-pokok getah dan diganti dengan kelapa sawit.

(Bersambung...)