Sunday, December 28, 2008

Childhood I

1. Kadang-kadang kenangan dan ingatan childhood saya ada yang berbeda dengan Kak Long saya.

2. Benar saya meninggalkan rumah sejak berumur 16 tahun. Tapi itu tidak bermakna saya tidak pernah merasa kesusahan kehidupan sepanjang 16 tahun bersama abah, emak dan keluarga. Malah sejak keluar rumah, saya bekerja keras di sekolah dan universiti untuk pastikan saya senantiasa mendapat kejayaan yang cemerlang. Usaha saya lebih berhasil ketika di universiti.

3. Barangkali kakak dan adik beradik saya tidak tahu bahawa saya kerap dibawa abah menolongnya berkebun di tanah di Pt Jamil (darat atau di bukit) di setiap cuti sekolah.

4. Saya sudah didedahkan dengan kerja perkebunan sejak kecil. Mulanya dari umur sebelum sekolah (4-6 tahun) sebagai pemerhati. Biasanya abah akan pergi di awal pagi. Emak akan membawa saya selepas 9.00 pagi. Kami naik bas Lian Hoe (sekarang sudah tiada) ke Parit Jamil. Dari sana, kami akan berjalan kaki ke Pt Jamil Darat. Biasanya di separuh perjalanan, saya sudah kepenatan dan kehausan. Emak akan mengajak singgah sekejap di rumah Mak Uda untuk secawan teh cair manis buah. Kemudian ke kebun getah abah. Dan biasanya saya akan segera diserang nyamuk kebun getah. Antara adik beradik, saya antara yang paling banyak kali digigit nyamuk kebun getah.

5. Abah ada dua keping tanah di situ. Satu kebun rambutan dan getah serta nurseri pokok getah abah. Abah beli tanah ini. Sekeping lagi adalah tanah pusaka abah dan dikongsi 4 adik-beradik lelakinya yang terakhir (Salikon, Zaidin dan Hasrin). Tanah bahagian abang dan adiknya telah dijual kepada Jusoh, seorang polis. Namun berkat azamnya yang tinggi beliau berjaya membeli kesemua bahagian tanah itu dari Jusoh.

6. Sebelum masuk sekolah, saya jadi pemerhati di nurseri anak getah. Abah menyediakan anak-anak getah kahwin secara sambilan. Mata tunas biasanya diberi RISDA (apa namanya pada masa itu saya tak ingat). Saya rasa abah jual anak-anak benih tu kerana kebun abah tiada yang ditanam semula ketika itu. Barangkali kepada RISDA semuanya. Saya tidak ingat sangat kerana saya masih kecil. Nurseri, kebun getah dan rambutan sudah jadi kebun sawit sekarang. Ia sudah jadi milik adik saya, Adib.

7. Di musim rambutan, abah jual rambutannya kepada Cina jual buah-buah dekat Balai Polis Pt Jawa. Biasanya apek itu akan datang ke rumah mengambil rambutan yang telah dituai abah.

8. Apakah ini dikira berniaga? Tidak tahulah saya. Namun abah menceritakan dia pernah menternak ayam semasa saya belum boleh mengingat (<4 tahun). Beberapa kali (batches) ayamnya diserang penyakit, abah berhenti menternak ayam dalam cubaannya menternak ayam secara komersil. Ini diceritakannya kepada saya bila saya tanya pasal jangkasuhu dalam kotak kayu peralatannya. Pada saya cubaan ini dikira masih bertani.

9. Dan abah pernah bercerita.. Di zaman Jepun, abah tanam padi huma di Pt Jamil, buat gula dari nira kelapa dan dia berniaga pisang sampai ke Lenga berbasikal. Abah beli pisang dari orang kampung. Abah ada sebuah stor dalam tanah untuk peram pisangnya dengan karbait sebelum menjualnya dengan berbasikal. Dia berhenti kerana dua sebab. Pertama, susah nak jual pisang kerana semua orang tak berduit. Kedua, berlaku letupan di stor apabila seorang kakaknya menjengok setor membawa pelita!

10. Saya mula kena merumput mulai Darjah 2. Guna tajak kecil. Seingat saya bermula di kebun getah 1 ekar yang abah beli dari Abangnya Salikon. Kebun ini jadi 2 ekar bila abah beli dari bahagian Mak Uda secara ansuran. (Kebun ini dah jadi kebun Kak Long sekarang). Pokok-pokoknya masih kecil dan abah merumput sendiri di musim cuti sekolah untuk ditabur baja. Bab merumput ni, saya kerap menanya abah kerana keletihan "Sudah (cukup besar)abah?" Dan abah akan terus menjawab "Belum!" sehingga keluasan tak berumput yang cukup besar disiapkan. Pada umur itu, abah akan siap 5-8 pokok untuk setiap pokok yang saya siapkan. Jari jemari meletup (blistered) tu biasalah.

11. Dari Darjah dua sehingga Tingkatan 3, saya kena ikut abah merumput dan membaja di beberapa kebun getah abah. Dua di bukit, satu kebun Adib dan last sekali kebun 7 ekar di Pt Jamil. Sekarang ini semuanya sudah jadi kebun sawit dan telah dibahagi-bahagi kepada kami 4 beradik.

(Bersambung...).