Sunday, February 10, 2008

Nasi Lemak Basmathi


1. Sempena CNY baru-baru ini, beberapa teman sekelas sekolah menengah telah berkumpul bersarapan pagi di Parit Sakai. Saya tidak dapat menyertainya walaupun rakan dari UUM, KL dan Air Hitam turut serta. Tuan rumah Jai telah menyediakan jamuan pagi termasuk nasi lemak beras basmathi.


2. Teringat beras, teringat saya semasa kecil-kecil (sebelum abah dan emak dapat kenaikan skim gaji baru), biasanya kami makan beras hancur (broken rice) melainkan di awal bulan atau di musim raya. Sepupu-sepupu saya di Parit Jamil dan sebahagian di Parit Bulat juga makan beras hancur. Sesekali sahaja mereka berpeluang makan nasi beras biasa. Namun jika ada jiran mengadakan kenduri kahwin anak, abah tak lupa sumbang sepikul beras biasa.

3. Sewaktu belajar di US, saya makan nasi beras panjang dan sesekali experimented dengan beras Jepun. Maklumlah beras biasa tidak dijual di sana.

4. Setelah bekerja dan berkahwin, saya dan isteri berkemampuan makan nasi beras Siam wangi. Sesekali makan nasi beras Jepun bila teringin (kerana kesedapan memakannya selama 3 bulan di Jepun).

5. Setelah beranak dua, kami mula makan nasi beras Basmathi. Sesekali bila teringin, pakai juga beras Bario atau beras Jepun. Beruntung betul anak-anak. Kerana dah biasa makan nasi beras Basmathi, mereka kurang selera makan nasi di restoran-restoran kecuali di Chicken Rice atau Sushi King. Malah mereka pernah bertanya “Mengapa nasi di kedai kurang sedap?” Isteri menjawab “Di rumah kita guna beras mahal, beras Basmathi. Kerana ini, you all beruntung dan should always bersyukur kepada Allah! Kami tak seberuntung kamu semasa kami kecil.”

6. Bercerita tentang beras Basmathi ni, rupanya ia ada beberapa gred. Pernah suatu hari menjelang raya, saya dan bapa mertua diarah membeli Basmathi di Ismail Yahya, Batu Pahat. Keluarga ini biasanya berberyani kambing pada setiap raya. Sampai rumah, ibu mertua saya mengamuk kerana beras yang dibeli bukan gred emas A. Barulah saya tahu Basmathi ada gred-grednya. Disuruhnya kami pulangkan. Terkebil-kebil saya dan bapa mertua pergi semula ke bandar menukar beras itu.

7. Beberapa tahun yang lalu, saya dan isteri diarah membeli beras Basmathi untuk satu raya haji. Teringat peristiwa tersilap gred beras dan takut ibu mertua marah, kami pun cari beras Basmathi yang paling mahal di kedai. Belilah beras Basmathi Moghul Faiza. RM7 sekilo. Elok sampai rumah, ibu mertua marah juga “Mengapa beli Basmathi yang mahal sangat?”. Terkedu saya. Cepat isteri jawab “Hajat kami nak belanja keluarga!” Nasib baik ibu mertua terima jawapan itu. Jika tidak, jenuh kena pergi pulangkan beras itu.

Ternyata beras itu memang istimewa. Bila dimasak nasi tomato, kembangnya dahsyat. Butir nasinya gebu besar-besar. Hampir dua kali besar beras Basmathi biasa. Kebetulan kami masak sehari sebelum raya. Anak-anak saudara yang berpuasa kecur melihat nasi tomato yang gebu sampai semuanya berbuka. Kaum kerabat semuanya bersyukur besar dapat pertama kali merasa Basmathi Moghul!

8. Baru-baru ini saya menghadiri satu majlis MOA dengan Bernas. Setiap kami dibekalkan dengan sekampit beras Basmathi. Terkejut juga saya. Rupanya standard beras orang biasa-biasa sudah naik!