Sunday, September 07, 2008

Ramadhan

1. Sudah seminggu Ramadhan bermula. Alhamdullillah saya dapat bertemu Ramadhan lagi dan melakukan ibadah berpuasa dan tarawih.

2. Dalam seminggu ini, dua kematian di kalangan saudara dekat berlaku. Adik lelaki mertua saya dan sepupu saya, Haji Ahamad Ridzwan. Kedua-duanya tidak sempat saya iringi ke pusara mereka kerana tugas. Saya sempat balik ke Batu Pahat dan menziarahi keluarga ibu saudara zaujah sebelah malam. Dan saya mewakilkan kak long saya menziarahi keluarga sepupu.

3. Dua kematian ini mengingatkan saya kepada seorang sahabat dan zaujahnya. Beberapa minggu yang lalu, adik zaujahnya memberitahu mereka sekeluarga bahawa bapa saudara mereka sedang tenat. Mungkin tak lama. Si suami memberitahu zaujahnya bahawa mungkin mereka wajar pergi ziarah si bapa saudara itu memohon maaf dan apa yang perlu.

Si zaujah naik angin. Beliau telah lama "bengkak" dengan bapa saudaranya. Tambahan pula ada kes terbaharu, langsung bertambahlah bencinya beliau pada bapa saudaranya itu. Malah beliau mengugut si suami supaya tidak membangkitkan nama bapa saudaranya. Si suami pun akur!

Lat beberapa hari, si bapa saudara meninggal. Tiba-tiba si zaujah beriya-iya mahu pergi ziarah segera. Siap arah si suami, balik segera dan bersamanya pergi ziarah si arwah. Si suami terkejut besar! Apakah dia terasa "guilty"? Bukankah sudah terlambat untuk mereka sama-sama bermaafan?

Sewaktu menziarah, ada kerabat si zaujah memberitahu sewaktu tenat si arwah sering bertanya tentang si zaujah itu "Mana xxx, apakah dia masih berkecil hati dengan saya?" Ternyata kedua-duanya tak kesampaian bermaafan.