Friday, January 01, 2016

Happy New Year

1. 2015 telah berlalu dengan berbagai kontroversi. Antaranya derma 2.6b, buat 2 kerja, kenaikan tol di Lembah Kelang, air Kenyir 2 etc etc.

2. Diharap 2016 akan kurang kontroversi tetapi penambahan produktiviti.

Thursday, August 13, 2015

Rasis Munafik

Baru-baru ni ada menteri yang menyarankan pembukaan "Low Yat" di Bangunan MARA. Pertama kalilah saya lihat satu "cadangan yang betul-betul bernas dan bijak" dari menteri ini.

Malangnya cadangan ini segera ditentang dan menteri segera dilabelkan rasis oleh mereka-mereka yang selama ini pengamal rasisme.

Pada saya sangat wajar dan "timely" anak-anak bumiputera wajar digalakkan menceburi bidang yang selama ini dimonopoli bangsa lain. Biar juga dalam bidang apa sekalipun yang kita masih ketinggalan. Berdekad bidang perubatan, perundangan, pembinaan, perniagaan dan lain-lain dimonopoli bangsa lain. Untunglah dengan polisi yang baik, ramai bumiputera telah memasuki bidang-bidang "asing" itu. Kita sudah punya ramai doktor dan pakar bumiputera dan Muslim. Kita sudah punya ramai peguam dan hakim bumiputera dan muslim. Kita sudah punya ramai jurutera dan arkitek bumiputera dan muslim. Dan banyak lagi...

Saya tidak faham mengapa pula bangsa lain mahu menyekat anak-anak bumiputera berniaga handphone dan perkakasan ICT? Walhal ramai anak-anak bumiputera yang menjadi "kuli" (jurujual) di kedai-kedai bangsa mereka. Bukankah ini menunjukkan mereka pun ada bakat berniaga?

Bangsa lain segera berteriak "rasis" untuk menyekat cadangan itu. Malangnya ada juga Melayu yang terikut-ikut cemuhan bangsa lain itu.

Pada saya, saranan menteri itu sama seperti saranan supaya Melayu dan bumiputera menyertai pembuatan kicap halal, mee hoon halal, tauhu halal, soun halal, sos tiram halal, sos tomato halal dan lain-lain. Ia adalah fardhu.

Bukankah sekarang bangsa lain itu sudah masuk perniagaan dan pembuatan tradisi Melayu seperti nasi lemak, satay, asam pedas, belacan, ayam sembelihan halal, ladang durian, ladang rambutan etc etc waimah perkakasan perkahwinan Melayu, hijab dan baju Melayu. Malah mereka menuntut dibenarkan menjadi peguam syarie. Ada mereka rasa bersalah "menciluk" perniagaan bangsa Melayu? Ada pemimpin Melayu tuduh mereka "rasis" mahu menguasai perniagaan tradisi orang Melayu?? Memang dasar munafik. Semoga saudara Muslim dan bumiputera sedar dan tidak terus dijajah.

Friday, February 13, 2015

Pak Mat Quran


Semasa saya kecil, saya pernah mengikut ibubapa saya menziarahi keluarga Pak Mat Quran. Rumah keluarga ini terpencil di Pt Kangkung Darat menghala ke air terjun kecil di situ. Hanya keluarga mereka saja yang tinggal di situ. Keluarga Melayu besar 8-10 orang ini tinggal dalam rumah kecil yang unik.  Tiang dan lantai rumah dari nibung dan dinding dari buluh. Sebagai budak kampung, saya tidak pernah melihat rumah sebegini. Saya tidak ingat berapa bilik rumah ini. First time melihat keluarga susah yang tinggal dalam rumah bukan kayu. Dah dewasa baru saya lihat rumah-rumah sebegini suatu yang biasa di perkampungan orang asli di Pahang.


Bumbung rumah Pak Mat Quran diperbuat dari atap nipah suatu yang biasa di rumah-rumah kampung ketika itu. Bahagian dapur dan bilik air rumah kami pun diperbuat dari atap nipah. Malah dinding bilik air di luar pun hanya berdiding atap nipah. Pekerjaan utama Pak Mat bersama isteri ialah menoreh getah. Selain dari itu, Pak Mat menjadi bomoh secara part time. Dia mengubat menggunakan Al Quran. Quran yang diperlukan unik kerana "hati quran" perlu berada di bahagian dan baris tengah.

Setelah meninggalkan rumah ke asrama, saya jarang merayap di kampung bila cuti sekolah. Tidaklah saya tahu perkembangan keluarga mereka. Sewaktu musim kemarau di tahun 76-77, saya kerap menolong bapa mengambil air dari air terjun Pt Kangkung tetapi tidak perasan pula samada keluarga Pak Mat masih tinggal di situ. Rumah ini terlindung sedikit dari jalan ke air terjun.

Tiga Jumaat yang lalu, saya kebetulan tertembung Yunus anak Pak Mat Quran. Suatu yang tidak diatur. Saya kebetulan berada di warung seorang teman dari Air Hitam. Teman ini rakan sekolah Yunus di SM Dato Seri Amar dan menelefonnya buat pertama kali selepas berberapa dekad. Kebetulan Yunus bertugas di kawasan berdekatan dan kami menjemputnya lunch mee bandung Muar antara menu baharu warung itu. Mendengar mee bandung Muar yang cukup kaw-kaw, Yunus tidak menolak. Dia sampai dengan Honda cub 20 minit kemudian.

Saya tak recall dia anak siapa walaupun dia muda setahun dari saya. Dia bersekolah rendah di Sekolah Simpang Empat, SM Raja Muda dan kemudian SM Dato Seri Amar. Berlainan langsung dari sekolah2 yang saya hadiri. Bagaimana pun bila dia sebut rumahnya di Pt Kangkung Darat, saya terus bertanya "Anak Pak Mat Quran?" Dan dia segera menjawap "Ya!" MasyaAllah dunia ini tidak sebesar mana.

Yunus sekarang adalah seorang kerani akaun di satu institut penyelidikan terkenal. Tinggal di Kajang. Anak 6 (jika tak silap). Tiga sudah bergraduat. 3 masih bersekolah. Gamaknya berjaya juga dia dalam persekolahan dan berhijrah jauh  dari kampung asal seperti saya. Seronok juga tumpang bertanya khabar etc etc.

Bagaimanapun sebelum berpisah, saya terperasan kolar bajunya yang mempunyai koyak-koyak kecil. Biasanya di hari Jumaat, kita digalakkan memakai pakaian yang terbaik bersolat Jumaat. Kemejanya masih cantik cuma dimakan tua di kolar. Suatu yang biasa jika baju kain kapas dibasuh (berus) tangan dan telah lama, Biasanya hanya baju saya yang sudah berusia lebih 10 tahun akan mempunyai sindrom yang sama walaupun dicuci dengan mesin. Tiba-tiba saya jadi terlalu insaf dan malu untuk ke kereta. Rupanya ada orang kampung saya yang sama-sama merantau masih bekerja keras melalui ranjau himpitan kehidupan di kotaraya. Bagaimanapun kehidupan mesti kita teruskan. Jika tidak kerana perlu ke pejabat dan solat Jumaat, ingin saja saya biarkan dia pulang dulu.

Sesungguhnya anak-anakku, anak-anak saudaraku serta anak-anak sepupu adalah orang-orang yang beruntung tidak pernah melalu kepayahan hidup seperti keluarga Pak Mat dahulu dan kini.

P/S Saya diberitahu Yunus bahawa Pak Mat akhirnya pindah ke Pt Nipah menumpang tanah orang dekat rumah Imam Ghani. Rumah itu kini didiami anak-anak kakak sulung Yunus dan anak-anak tuan tanah sudah mula mahukan mereka berpindah. Tanah Pak Mat di Pt Kangkung Darat masih ada tetapi rumah buluh sudah lama tiada. Adik2 Yunus ingin menjual tetapi Yunus berkeras mengenangkan kepayahan Pak Mat mendapatkan tanah itu. Semoga anak-anak cucu-cucu Pak Mat sudah terbebas dari belengu kemiskinan tegar.


Monday, August 11, 2014

Di sini Palestine Ayah Saya

Lot tanah seluas 7 ekar ini merupakan tanah terakhir mantan menteri Haji Salleh. Ia merupakan ladang kopi ketika itu (ditukar ke getah dan akhirnya sawit). Beliau bersama Nyaie Sham berpindah ke tanah ini bersama 4 anaknya yang terakhir semua lelaki. Ayah saya bersama abangnya Salikon dan adik-adiknya Zaidin dan Hasrain dibesarkan di tapak ini. Tapak ini berdekatan dengan rumah anak sulungnya Siti. Ayah saya menceritakan bahawa setiap sebelum Jumaat rumah mereka tempat berkenduri sedara mara serta mantan pengikutnya dari Pt Salleh dan Pt Nawi. Bagi menampung kehidupan dan kenduri mingguan, saya berteori beliau terpaksa menjual baki-baki ladang-ladangnya yang lain (yang belum diberikan kepada anak-anak perempuannya yang telah berkahwin) kerana beliau sudah tua dan anak-anak lelaki belum baligh untuk mula bekerja. Hasil kopi di ladang ini rasanya tidak mencukupi. Beliau meninggal di rumah di tapak ini.

Setelah meninggal, tanah ini dibahagikan sama rata kepada keempat-empat anak lelakinya. Barangkali kerana semuanya belum bekerja dan bagi menampung kehidupan atau hal lain, abang dan adik-adiknya menjualkan bahagian mereka kepada seorang Jusoh (biras Salikon). Ayah tidak menjualkan bahagiannya (di bahagian paling belakang bermula di Pt Tunggul). Rumah keluarga terpaksa dipindahkan ke tanah sewaan di berdepanan rumah Penghulu Abdul Rahman di jalan besar Muar-Batu Pahat. Akhirnya rumah itu dijual apabila Hasrain dan ayah saya sudah menjadi guru dan berkahwin. Nyaie Sham tinggal antara rumah Hasrain dan ayah saya sehingga akhir hayatnya (meninggal di rumah pertama ayah di Pt Gantung).

Rupanya ayah saya bertekad membeli semula bahagian tanah yang terjual. Barangkali kerana ada sentimental value baginya. Bertahun dia mengumpul wang dan memujuk Jusoh. Akhirnya Jusoh menjualkannya untuk membiayai persekolahan anaknya Salleh di Institut Teknologi Bandung dalam awal tahun 70an.

Setelah ayah pencen, baru saya tahu beliau juga bercita-cita membina rumah di tanah ini di tapak beliau dibesarkan. Dimulakan dengan membelikan rumah kayu second-hand (BTW kesemua rumahnya asalnya dibina dari rumah second-hand). Ketika itu saya masih belajar di US dan hanya dapat menyumbang sedikit sahaja. Malangnya hasil kebun getahnya dan pencen mereka berdua tidak cukup untuk menyiapkan rumah itu. Selepas ayah meninggal, rumah terbengkalai akhirnya reput dimamah anai-anai. Dia meninggal (stroke ketiganya) selepas sebahagian besar tanah ini dibakar kerana pertelingkahan dua beradik pekerjanya.


Di penghujung 90an, emak menyatakan hasratnya membaiki rumah itu dan berpindah ke sini. Setelah berbincang serta melihat bajet emak serta berapa banyak yang boleh dikumpul anak-anaknya, saya mencadangkan agar dirobohkan rumah yang mamah anai-anai dan dibina sebuah rumah batu kecil di tapak itu. Saya meminjam untuk contribute kerana masa itu gaji saya kecil. Akhirnya setelah melalui banyak cabaran, rumah itu siap. Kami akhirnya dapat merealisasikan impian ayah dan emak. Tempat ini nyaman walaupun sesekali ditenggelami air. Sepanjang kehidupan terakhir emak dan beberapa tahun selepas itu, di rumah inilah kami memakmurkan aidilfitri. Agaknya itulah harapan ayah dan emak saya di tapak tanah yang begitu bermakna. Tanah terakhir peninggalan Haji Salleh. Tempat di mana hero-hero (Haji Salleh dan Nyaie Sham) Salikon, ayah saya, Zaidin dan Hasrain dibesarkan. Rupanya semangat ayah seperti seorang Palestine. Mendapatkan kembali tanah peninggalan terakhir ayahnya yang sebahagiannya terlepas ke orang lain.

Wednesday, January 15, 2014

Menyusur Akar

Alhamdullillah of late ada beberapa sepupu dan anak-anak mereka dari jauh menziarahi saya. Kemesraan abang adik tiada batasannya. Soal status sosial tidak timbul. Tali persaudaraan atau DNA itu mengatasi segalanya. Ami-ami isteri saya juga menziarahi kami baru-baru ini. Meriah.

Penghujung tahun sudah, seorang lagi sepupu Abang Mil dari selatan tanahair datang ke rumah dengan keluarganya. Berbesar hati di atas kedatangan mereka. Sedikit kesal kerana tidak sempat menyediakan apa-apa juadah kerana saya bekerja pada hari minggu itu. Bagaimanapun kami sempat bersama menghadiri majlis walimah cucu sedara kami (anak Jamik Kak Mi dan Abang Satar Pt Bulat). Saya baru tahu Abang Satar masih hidup dan sihat kerana setiap kali ziarah anaknya.. tak pernah jumpa dia. Kak Mi telah lama meninggal.

Teringin juga saya menyusur akar menziarahi sepupu-sepupu dan kerabat yang telah berpuluh tahun tak jumpa. Setakat ini berpeluang menziarah arwah Abang Sekak di Endau serta Abang Abas-Kak Non di Kota Tinggi. Teringin juga menyusur sedara mara yang lain. Tapi kadang-kadang timbul malu pula pada diri sendiri. Mengapa? Mana taknya sedara mara yang lebih dekat pertalian darah pun jarang-jarang berpeluang saya ziarah…. Sepupu di sebarang lebuhraya pun hanya setahun sekali saya ziarah. Di mana kewajarannya yang beratus km sanggup pula saya menyusur?