Friday, February 13, 2015

Pak Mat Quran


Semasa saya kecil, saya pernah mengikut ibubapa saya menziarahi keluarga Pak Mat Quran. Rumah keluarga ini terpencil di Pt Kangkung Darat menghala ke air terjun kecil di situ. Hanya keluarga mereka saja yang tinggal di situ. Keluarga Melayu besar 8-10 orang ini tinggal dalam rumah kecil yang unik.  Tiang dan lantai rumah dari nibung dan dinding dari buluh. Sebagai budak kampung, saya tidak pernah melihat rumah sebegini. Saya tidak ingat berapa bilik rumah ini. First time melihat keluarga susah yang tinggal dalam rumah bukan kayu. Dah dewasa baru saya lihat rumah-rumah sebegini suatu yang biasa di perkampungan orang asli di Pahang.


Bumbung rumah Pak Mat Quran diperbuat dari atap nipah suatu yang biasa di rumah-rumah kampung ketika itu. Bahagian dapur dan bilik air rumah kami pun diperbuat dari atap nipah. Malah dinding bilik air di luar pun hanya berdiding atap nipah. Pekerjaan utama Pak Mat bersama isteri ialah menoreh getah. Selain dari itu, Pak Mat menjadi bomoh secara part time. Dia mengubat menggunakan Al Quran. Quran yang diperlukan unik kerana "hati quran" perlu berada di bahagian dan baris tengah.

Setelah meninggalkan rumah ke asrama, saya jarang merayap di kampung bila cuti sekolah. Tidaklah saya tahu perkembangan keluarga mereka. Sewaktu musim kemarau di tahun 76-77, saya kerap menolong bapa mengambil air dari air terjun Pt Kangkung tetapi tidak perasan pula samada keluarga Pak Mat masih tinggal di situ. Rumah ini terlindung sedikit dari jalan ke air terjun.

Tiga Jumaat yang lalu, saya kebetulan tertembung Yunus anak Pak Mat Quran. Suatu yang tidak diatur. Saya kebetulan berada di warung seorang teman dari Air Hitam. Teman ini rakan sekolah Yunus di SM Dato Seri Amar dan menelefonnya buat pertama kali selepas berberapa dekad. Kebetulan Yunus bertugas di kawasan berdekatan dan kami menjemputnya lunch mee bandung Muar antara menu baharu warung itu. Mendengar mee bandung Muar yang cukup kaw-kaw, Yunus tidak menolak. Dia sampai dengan Honda cub 20 minit kemudian.

Saya tak recall dia anak siapa walaupun dia muda setahun dari saya. Dia bersekolah rendah di Sekolah Simpang Empat, SM Raja Muda dan kemudian SM Dato Seri Amar. Berlainan langsung dari sekolah2 yang saya hadiri. Bagaimana pun bila dia sebut rumahnya di Pt Kangkung Darat, saya terus bertanya "Anak Pak Mat Quran?" Dan dia segera menjawap "Ya!" MasyaAllah dunia ini tidak sebesar mana.

Yunus sekarang adalah seorang kerani akaun di satu institut penyelidikan terkenal. Tinggal di Kajang. Anak 6 (jika tak silap). Tiga sudah bergraduat. 3 masih bersekolah. Gamaknya berjaya juga dia dalam persekolahan dan berhijrah jauh  dari kampung asal seperti saya. Seronok juga tumpang bertanya khabar etc etc.

Bagaimanapun sebelum berpisah, saya terperasan kolar bajunya yang mempunyai koyak-koyak kecil. Biasanya di hari Jumaat, kita digalakkan memakai pakaian yang terbaik bersolat Jumaat. Kemejanya masih cantik cuma dimakan tua di kolar. Suatu yang biasa jika baju kain kapas dibasuh (berus) tangan dan telah lama, Biasanya hanya baju saya yang sudah berusia lebih 10 tahun akan mempunyai sindrom yang sama walaupun dicuci dengan mesin. Tiba-tiba saya jadi terlalu insaf dan malu untuk ke kereta. Rupanya ada orang kampung saya yang sama-sama merantau masih bekerja keras melalui ranjau himpitan kehidupan di kotaraya. Bagaimanapun kehidupan mesti kita teruskan. Jika tidak kerana perlu ke pejabat dan solat Jumaat, ingin saja saya biarkan dia pulang dulu.

Sesungguhnya anak-anakku, anak-anak saudaraku serta anak-anak sepupu adalah orang-orang yang beruntung tidak pernah melalu kepayahan hidup seperti keluarga Pak Mat dahulu dan kini.

P/S Saya diberitahu Yunus bahawa Pak Mat akhirnya pindah ke Pt Nipah menumpang tanah orang dekat rumah Imam Ghani. Rumah itu kini didiami anak-anak kakak sulung Yunus dan anak-anak tuan tanah sudah mula mahukan mereka berpindah. Tanah Pak Mat di Pt Kangkung Darat masih ada tetapi rumah buluh sudah lama tiada. Adik2 Yunus ingin menjual tetapi Yunus berkeras mengenangkan kepayahan Pak Mat mendapatkan tanah itu. Semoga anak-anak cucu-cucu Pak Mat sudah terbebas dari belengu kemiskinan tegar.