Monday, August 11, 2014

Di sini Palestine Ayah Saya

Lot tanah seluas 7 ekar ini merupakan tanah terakhir mantan menteri Haji Salleh. Ia merupakan ladang kopi ketika itu (ditukar ke getah dan akhirnya sawit). Beliau bersama Nyaie Sham berpindah ke tanah ini bersama 4 anaknya yang terakhir semua lelaki. Ayah saya bersama abangnya Salikon dan adik-adiknya Zaidin dan Hasrain dibesarkan di tapak ini. Tapak ini berdekatan dengan rumah anak sulungnya Siti. Ayah saya menceritakan bahawa setiap sebelum Jumaat rumah mereka tempat berkenduri sedara mara serta mantan pengikutnya dari Pt Salleh dan Pt Nawi. Bagi menampung kehidupan dan kenduri mingguan, saya berteori beliau terpaksa menjual baki-baki ladang-ladangnya yang lain (yang belum diberikan kepada anak-anak perempuannya yang telah berkahwin) kerana beliau sudah tua dan anak-anak lelaki belum baligh untuk mula bekerja. Hasil kopi di ladang ini rasanya tidak mencukupi. Beliau meninggal di rumah di tapak ini.

Setelah meninggal, tanah ini dibahagikan sama rata kepada keempat-empat anak lelakinya. Barangkali kerana semuanya belum bekerja dan bagi menampung kehidupan atau hal lain, abang dan adik-adiknya menjualkan bahagian mereka kepada seorang Jusoh (biras Salikon). Ayah tidak menjualkan bahagiannya (di bahagian paling belakang bermula di Pt Tunggul). Rumah keluarga terpaksa dipindahkan ke tanah sewaan di berdepanan rumah Penghulu Abdul Rahman di jalan besar Muar-Batu Pahat. Akhirnya rumah itu dijual apabila Hasrain dan ayah saya sudah menjadi guru dan berkahwin. Nyaie Sham tinggal antara rumah Hasrain dan ayah saya sehingga akhir hayatnya (meninggal di rumah pertama ayah di Pt Gantung).

Rupanya ayah saya bertekad membeli semula bahagian tanah yang terjual. Barangkali kerana ada sentimental value baginya. Bertahun dia mengumpul wang dan memujuk Jusoh. Akhirnya Jusoh menjualkannya untuk membiayai persekolahan anaknya Salleh di Institut Teknologi Bandung dalam awal tahun 70an.

Setelah ayah pencen, baru saya tahu beliau juga bercita-cita membina rumah di tanah ini di tapak beliau dibesarkan. Dimulakan dengan membelikan rumah kayu second-hand (BTW kesemua rumahnya asalnya dibina dari rumah second-hand). Ketika itu saya masih belajar di US dan hanya dapat menyumbang sedikit sahaja. Malangnya hasil kebun getahnya dan pencen mereka berdua tidak cukup untuk menyiapkan rumah itu. Selepas ayah meninggal, rumah terbengkalai akhirnya reput dimamah anai-anai. Dia meninggal (stroke ketiganya) selepas sebahagian besar tanah ini dibakar kerana pertelingkahan dua beradik pekerjanya.


Di penghujung 90an, emak menyatakan hasratnya membaiki rumah itu dan berpindah ke sini. Setelah berbincang serta melihat bajet emak serta berapa banyak yang boleh dikumpul anak-anaknya, saya mencadangkan agar dirobohkan rumah yang mamah anai-anai dan dibina sebuah rumah batu kecil di tapak itu. Saya meminjam untuk contribute kerana masa itu gaji saya kecil. Akhirnya setelah melalui banyak cabaran, rumah itu siap. Kami akhirnya dapat merealisasikan impian ayah dan emak. Tempat ini nyaman walaupun sesekali ditenggelami air. Sepanjang kehidupan terakhir emak dan beberapa tahun selepas itu, di rumah inilah kami memakmurkan aidilfitri. Agaknya itulah harapan ayah dan emak saya di tapak tanah yang begitu bermakna. Tanah terakhir peninggalan Haji Salleh. Tempat di mana hero-hero (Haji Salleh dan Nyaie Sham) Salikon, ayah saya, Zaidin dan Hasrain dibesarkan. Rupanya semangat ayah seperti seorang Palestine. Mendapatkan kembali tanah peninggalan terakhir ayahnya yang sebahagiannya terlepas ke orang lain.