Adun gesa iktiraf mahjong
Sivanesan (kiri) dan Jenice (dua kiri) menjelaskan isu kes kepada media.
AMPANG - Kerajaan digesa tidak melabelkan permainan mahjong sebagai aktiviti perjudian di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai , Jenice Lee Ying Ha berkata, aktiviti bermain mahjong tidak wajar dikategori sebagai perjudian selagi ianya tidak melibatkan sebarang wang perjudian kerana ia antara tradisi masyarakat Cina bersosial.

“Adalah tidak wajar mahjong dianggap judi kerana masyarakat Cina secara tradisinya sejak dulu lagi menganggap aktiviti ini sebahagian daripada mereka mengisi masa lapang.

“Bermain mahjong ini juga secara saintifiknya mampu mencergaskan minda pemain dan menguatkan ingatan terutamanya kepada golongan berusia yang bermain untuk mengisi masa lapang,” katanya kepada Sinar Harian selepas Mahkamah Majistret Ampang menggugurkan pertuduhan terhadap lapan orang yang didakwa berjudi bermain mahjung pada 3 April 2012 di Taman Seraya.

Sementara itu, Adun Sungkai, A Sivanesan berkata, sudah masanya kerajaan mengiktiraf permainan mahjung ini dan tidak dikategorikan sebagai perjudian

"Bagaimana pusat peranginan Genting Highland dibenarkan menjalankan aktiviti perjudian secara terang-terangan dan permainan mahjong dilabelkan perjudian sedangkan ia adalah sebahagian tradisi masyarakat Cina sejak turun temurun," katanya.