2. Pada 21 Ogos 2011 di Tasik Gelugor, Pulau Pinang, Mohamad Sabu mendakwa Mat Indera (yang mengetuai serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, membunuh dan membakar polis dan keluarga termasuk anak-anak) sebagai hero dan polis sebagai pegawai (talibarut) British. Apabila dia dikecam ramai, dia yang terdesak cuba mempertahankan "kebenaran" dakwaannya menggunakan satu artikel yang ditulis Ismail Haji Adnan (Isbiha) dalam buku "Pengukir Nama Johor" terbitan Yayasan Warisan Johor. Amatlah lemah jika menggunakan hanya satu artikel sebagai asas debat atau bahas. Kalau guna kaedah ini masuk Bahas Piala Perdana Menteri, pasti pasukan debat tidak akan menang.
Kaedah menegak benang basah Mat Sabu mengusung hanya satu rujukan juga menambah keharu-biruan kontroversi dan hangat didebatkan pakar-pakar sejarah, akademia, ahli politik, bekas pemimpin polis dan tentera serta orang awam. Kepakaran Isbiha dalam bidang sejarah juga diperdebatkan dan dipertikaikan. Malah ada dakwaan bahawa 90% tulisan itu dicedok dari Maklumat Lisan Johor terbitan Biroteks ITM (1987).
Tiba-tiba juga timbul ramai "pakar-pakar sejarah" baharu macam cendawan yang diinokulasi di habuk kayu di kalangan ahli politik dan pengikut-pengikut tegar mereka yang pendidikan dan latihan mereka bukan dalam bidang sejarah. Malah ada saintis dan pakar perlembagaan (perundangan) juga tiba-tiba menjadi pakar sejarah Malaya.
3. Jika rajin merujuk kepada banyak sumber termasuk Abdullah CD, Mat Indera adalah antara pemimpin Regimen ke 10 PKM. Niat asalnya memang murni melawan British tetapi akhirnya dia tertipu dengan helah strategi komunis yang membunuh bangsanya sendiri termasuk anak kecil.

